Saturday, November 27, 2010

perjuangan menuntut sebuah 'P'

Genap seminggu selesai sudah sesi di Monash. Semalam pun keluar keputusan akhir, dan alhamdulillah saya lulus. Kadang-kadang ada juga terasa takut disebabkan pelbagai kejadian yang melanda tahun ini. Namun itu semua badai yang harus ditempuhi untuk melihat siapa yang akhirnya mampu mengharungi badai itu dan tetap terapung di Permukaan.


Lima tahun saya belajar dalam kursus Perubatan, boleh kira tempoh yang paling lama jika dibandingkan dengan kursus-kursus yang lain. Lima tahun berjuang hanya untuk menuntut sebuah 'P'.



'P' bererti Pass, 'P' juga bererti lesen Percubaan untuk tempoh dua tahun seterusnya. Sepanjang lima tahun ada juga melalui saat-saat Pahit. Dan saat-saat itulah yang sentiasa dikenang sebagai Pemangkin usaha.


Adakalnya sedih mengenang nasib menjadi kumpulan 'Pioneer'. Tetapi Peneraju sentiasa akan terlatih secara tak langsung untuk menjadi Pemimpin dan Pembimbing buat adik-adik di belakang yang mengikut.


Lima tahun mendidik saya menjadi seorang Pejuang, dalam perjuangan penuh pancaroba, tengkingan, tangisan dan 'ketensionan'. Memang Payah. Putus asa dan Pasrah bukanlah pilihan. Namun satu-satunya cara ialah menguatkan semangat untuk meneruskan Perjalanan. Agar di Penghujungnya, tatkala mencecah garis Penamat, kita mendapat Pemanisan atas segala penat lelah yang kita lalui.


Sekarang hanya menunggu Panggilan dan surat Perlantikan supaya dengan rasminya menjadi Pegawai Perubatan.


Tetapi Pengakhiran bukanlah di situ, kerana setiap Penutupan kisah akan adanya Permulaan baru. insyaAllah masa mendatang adalah Pembuka kisah kehidupan yang berbeza….


Hakikat Perjuangan masih belum selesai dan jaraknya masih jauh. Kerana Perjuangan yang hakiki adalah menuju Pengabadian bersama Pencipta setelah melalui Pengebumian dan Perhitungan.


namun Perjuangan terdekat bakal mendatang. Demi menuntut sebuah 'P'…… =)