Saturday, September 11, 2010

antara sensitiviti isu dan kecelaruan identiti

beberapa hari yang lalu sempat saya berbual dengan beberapa orang rakan tentang iklan raya kontroversi yang ditayangkan minggu lepas. alhamdulillah iklan itu ditarik balik dan pihak bertanggungjawab telahpun meminta maaf. oleh itu saya pun tidaklah berminat untuk mendalami atau mengungkit lebih-lebih isu berkenaan. namun apa yang ingin saya sampaikan ialah pandangan saya di sebalik isu itu.

alhamdulillah majoriti warganegara terutamanya melayu muslim masih senstisif dan peka terhadap isu yang melibatkan identiti agama Islam yang suci. sesetengah pihak menganggap isu ini besar mampu memesongkan akidah. sesetengah pihak lain pula menganggap ianya isu kecil dan saja diperbesarkan oleh pihak tertentu atas kepentingan masing-masing, samada politik mahupun sekadar ingin berdrama. ada juga pihak yang terlebih tafsir dengan terlalu detail isu ini tanpa sebarang hujah asasi dengan mengaitkan isu ini dengan iluminati; wallahu'alam. saya pula secara peribadi lebih memihak pada pandangan pertama. pada masa yang sama, menganggap ianya isu yang kecil berbanding isu-isu yang lebih besar. ini kerana, isu itu hanyalah manifestasi kecil dari masalah kecelaruan kefahaman umat Islam terhadap agama mereka yang sudahpun berakar umbi. umpama dahan pokok yang buruk tumbuh dari akar yang tidak elok. isu berkenaan hanyalah dahannya. potong satu dahan, dahan lain yang akan tumbuh. malangnya akar pokok tidak kelihatan dan tiada siapa peduli dan sedar bahawa menjadi keperluan untuk kita mencabut akarnya.

sedar tidak sedar isu ini sudah lama, bukannya bermula pada tahun ini tetapi semenjak saya sekolah menengah lagi. malah mungkin lebih lama dari itu. amat sedih sekali ramai yang tidak tahu, lebih teruk ada yang tidak peduli. sebelum ini timbul isu 'kongsi raya', 'deepa raya' dan lain-lain. ketika itu juga umat Islam yang peka akan bangun dengan menghantar protes. namun setelah isu mereda akan timbul isu lain. seperti yang saya tulis sebelum ini, potong satu dahan, dahan lain akan tumbuh. akarnya tiada siapa yang berusaha untuk cabut. lebih-lebih lagi dengan sikap 'hangat-hangat tahi ayam' kita yang perlu diubah. kebanyakkan kita hanya akan sedar apabila ada isu hangat dan kontroversi. itu jelas membuktikan ketidaksedaran umat akan isu sebenar hasil daripada sistem pendidikan Islam yang tidak mampu diimplementasikan sepenuhnya.

pada pendapat saya, punca utama timbul sedemikian adalah kerana kita tidak mampu mengiktiraf Islam sebagai agama dan sistem tertinggi yang datangnya dari Allah yang Maha Suci. kita terlalu berkompromi dengan agama lain. lalu demi menjaga hati mereka kita 'merendahkan diri' untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah. dengan kata lain kita sepatutnya menentang konsep pluralisme. kita tidak menentang dan tidak sesekali menghina amalan agama lain. mereka bebas mengamalkan apa yang mereka percaya. dan mereka pula perlu sedar seandainya sistem kehidupan Islam diimplementasikan, ianya tidak sedikit pun akan menganggu amalan agama mereka. "kalau begitu bagaimana pula dengan pengharaman arak dan judi (dll)". setahu saya tiada agama yang menyuruh penganutnya untuk wajib meminum arak dan berjudi sebagai contoh. seandainya ada, maka kita boleh berbincang. tetapi saya yakin tiada.

orang luar tidak memahami agama kita tiada masalah. logiknya, memang sukar untuk kita menerima sesuatu yang baru. tetapi yang menjadi masalah ialah apabila 'orang kita' sendiri yang celaru dan tidak sensitif. analoginya begini; saya pelajar Monash University dan saya berusaha untuk mempromosikan kursus perubatan kepada orang luar. seandainya ada orang lain dari universiti lain yang memperlekehkan Monash University, maka saya tiada kuasa untuk menghalang. tetapi akan menjadi malapetaka besar apabila ada kawan saya dari Monash University sendiri yang memperlekehkannya dan menyebarkan masalah dalaman kepada orang luar. sama jugalah seandainya negara luar ingin mengkritik malaysia berbanding rakyat malaysia sendiri yang membuka pekung di dada. daripada contoh itu, maka kita dapat melihat bagaimana tenatnya umat kita apabila muslim sendiri yang tidak faham Islam dan bertindak menghina Islam. dan ini berlaku kerana kecelaruan mereka terhadap identiti mereka sendiri. dalam mengambil kira sudut geografi dan sosial, perkara ini menjadi masalah apabila orang melayu kita tidak mengasimilasikan jati diri muslim sebagai identiti asal-usul mereka. sebaliknya mengambil identiti barat kononnya identiti itu lebih universal dan kononnya lebih mampu menjaga hati orang lain.

berbalik kepada isu asal, 'ya', isu ini isu kecil, secara relatif. isu buang bayi juga isu kecil, secara relatif. isu muslim tidak maju-maju juga kecil, secara relatif. banyak lagi isu. kesemuanya kecil secara relatif berbanding isu muslim yang tidak mengenal asal-usul agama, jauh lebih relatif berbanding muslim yang celaru akidahnya. kesemuanya hanyalah manifestasi-manifestasi yang tumbuh dari akar yang tidak elok, iaitu akidah yang tidak jelas. akidah yang umumnya difahami sekadar melafazkan syahadah. seandainya begini, mana mungkin kita mampu mengamalkan agama sepertimana agama Islam itu sepatutnya terbentuk, sepertimana Nabi s.a.w. bawa dan sepertimana para sahabat telah amalkan. jelas sekali tiada kecelaruan isu ketika itu. jelas sekali penganut agama lain juga mampu hidup dengan aman ketika itu.

oleh itu, menjadi satu keperluan kita untuk kembali kepada asal-usul dan mendalami semula ilmu-ilmu asasi Islam; Al-Quran dan Sunnah melalui proses pentarbiyahan yang berterusan. ini supaya kitalah yang akan menjadi cerminan terbaik buat masyarakat. dan yang lebih penting pendirian kita tetap berlandaskan syara' dan tidak mudah goyah terpengaruh dengan isu-isu semata-mata. kita bukanlah umat yang tersentuh, terpengaruh dan naik angin berdasarkan isu. isu akan datang dan pergi. sebaliknya umat yang sentiasa bergerak, aktif dan berfungsi berdasarkan agenda dan ideologi yang akan terus kekal.
wallahu'alam


No comments: