Monday, December 27, 2010

buah penamat - siku potong

esok insyaAllah, tamatlah riwayat sikubesi.

mungkin secara fizikal tiada lagi, tetapi 'ruh' akan terus kekal berjuang insyaAllah

doa-doakan segalanya berjalan lancar dan dipermudahkan Allah

mengapa sikubesi?

sejak dulu lagi ingin mencari nama pena, belum jumpa yang terbaik lagi.....

ps: siku potong adalah buah terakhir yang saya dapat sewaktu bersama menuntut seni silat cekak dahulu

Friday, December 17, 2010

Tahniah!!

tahniah kepada semua pelajar-pelajar monash malaysia yang berjaya.

bagi yangg kurang bernasib baik, anggaplah sebagai ujian dan kafarah.

perjuangan menuntut sebuah 'P'. adakalanya P bererti perlu Pengulangan.

perjuangan masih jauh dan pengorbanan dituntut.

apa-apa masalah kami senior, sedia membantu.

jumpa lagi insyaAllah

sekian:

HO Yazid

Saturday, November 27, 2010

perjuangan menuntut sebuah 'P'

Genap seminggu selesai sudah sesi di Monash. Semalam pun keluar keputusan akhir, dan alhamdulillah saya lulus. Kadang-kadang ada juga terasa takut disebabkan pelbagai kejadian yang melanda tahun ini. Namun itu semua badai yang harus ditempuhi untuk melihat siapa yang akhirnya mampu mengharungi badai itu dan tetap terapung di Permukaan.


Lima tahun saya belajar dalam kursus Perubatan, boleh kira tempoh yang paling lama jika dibandingkan dengan kursus-kursus yang lain. Lima tahun berjuang hanya untuk menuntut sebuah 'P'.



'P' bererti Pass, 'P' juga bererti lesen Percubaan untuk tempoh dua tahun seterusnya. Sepanjang lima tahun ada juga melalui saat-saat Pahit. Dan saat-saat itulah yang sentiasa dikenang sebagai Pemangkin usaha.


Adakalnya sedih mengenang nasib menjadi kumpulan 'Pioneer'. Tetapi Peneraju sentiasa akan terlatih secara tak langsung untuk menjadi Pemimpin dan Pembimbing buat adik-adik di belakang yang mengikut.


Lima tahun mendidik saya menjadi seorang Pejuang, dalam perjuangan penuh pancaroba, tengkingan, tangisan dan 'ketensionan'. Memang Payah. Putus asa dan Pasrah bukanlah pilihan. Namun satu-satunya cara ialah menguatkan semangat untuk meneruskan Perjalanan. Agar di Penghujungnya, tatkala mencecah garis Penamat, kita mendapat Pemanisan atas segala penat lelah yang kita lalui.


Sekarang hanya menunggu Panggilan dan surat Perlantikan supaya dengan rasminya menjadi Pegawai Perubatan.


Tetapi Pengakhiran bukanlah di situ, kerana setiap Penutupan kisah akan adanya Permulaan baru. insyaAllah masa mendatang adalah Pembuka kisah kehidupan yang berbeza….


Hakikat Perjuangan masih belum selesai dan jaraknya masih jauh. Kerana Perjuangan yang hakiki adalah menuju Pengabadian bersama Pencipta setelah melalui Pengebumian dan Perhitungan.


namun Perjuangan terdekat bakal mendatang. Demi menuntut sebuah 'P'…… =)

Wednesday, October 20, 2010

rasanya apa?

terkejut saya apa melihat kenyataan akhbar ini:

9.47am PEMUDA Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin memulakan ucapannya berjudul 'Maqasid and Manhaj Perjuangan'.


*laporan langsung AGM UMNO di PWTC - petikan malaysia kini

manhaj apa yang dia nak bawa? manhaj umno? manhaj 1malaysia? manhaj ikhwan? sejauh mana ia mampu digerakkan? atau sekadar ucapan pembakar semangat. akhir-akhir ini ramai tokoh politik menggunakan istilah-istilah arab kononnya nampak lebih Islamik. maka ramai akan terpegun dengan istilah-istilah itu. namun yang penting perlulah dilihat pada hakikat yang akan dibawa.

pak lah: 'islam hadhari'
DSAI: masyarakat madani
DS Najib: 'saf-saf'
lim guan eng: kepimpinan umar abdul aziz


teringin juga dengar ucapan YB itu. mula-mula pessimis juga melihat kenyataan itu. tetapi lebih elok melihat ucapan sebenar baru boleh dinilai dengan neraca yang adil.

Sunday, September 26, 2010

tulipmania

semasa kecil saya mempunyai seorang kawan yang menceritakan kepada saya tentang bunga tulip. ketika itu saya pun hairan, kenapa orang sanggup mengembara jauh hingga ke belanda untuk melihat kecantikan tulip. bulan lepas, sehari sebelum pulng ke malaysia, saya berkesempatan melihat keindahan ciptaan Allah s.w.t. itu, 'subnanallah'.

dan seperti yang umum ketahui, apabila disebut tulip, mesti akan dikaitkan dengan Belanda. malah ketika di tulip farm itu, penyambut tetamu dan juga rata-rata pekerja di situ akan berpakaian tradisional Belanda. seolah-olah tulip itu asalnya dari Belanda

saya sempat berkenalan dengan dua orang Belanda
semasa di tulip festival.... mr dutchman dan mrs dutchlady



tapi sedarkah kita bahawa tulip itu asalnya dari kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah. dipopularkan semasa pemerintahan Sultan Sulaiman I pada kurun ke 15 dan menjadi simbol kekayaan sultan ketika itu. perkataan tulip sendiri berasal dari kata tulbend dalam bahasa turkey yang bermaksud muslin. ini kerana kelembutan tekstur bunga tulip seakan-akan kain muslin yang antara kegunaannya untuk membuat langsir.

apa yang ingin disampaikan di sini adalah:
  1. pentingnya memahami dan mengkaji sejarah agar kita tahu asal usul kita
  2. hilangnya kebanggan kita kepada tamadun Islam dan terlalu mengagungkan tamaddun Barat.
  3. bagaimana kita telah tertipu oleh keadaan sekarang akibat tidak pernah menyedari kehebatan tamadun Islam
  4. disebabkan kelekaan kita, bunga tulip telah dieksploitkan oleh pihak Belanda dan menjadi sumber kewangan kepada negara itu. begitu juga dalam bidang lain, banyak yang telah dipelopori oleh ilmuwan Islam tetapi dunia sekarang tunduk ke Barat untuk menuntutnya.
pengajarannya belajarlah sejarah, berbanggalah dengan asal usul kita. sedarlah kita mencapai satu posisi yang tinngi. sudah tiba masanya untuk bangun semula

kenangan manis bersama sahabat-sahabat di tulip festival

Wednesday, September 15, 2010

the perseverance of a memory

funny when kept thinking about it...

i was ask by the medical registrar to do a mini mental state examination on a patient with dementia (memory impairment)

do you know what year is it?

"yes. 1972"

what season?

"yes 1972"

what month?

paused......"1972"

what country are you in?

"australia"

the city?

"australia"

repeat these words after me; 'ball, car, man'

"ball, car, man"

now take away 7 from 100;

"ball, car, man"

do you know what this is? (showing watch)

"yes, watch"

and this (showing pen)

"yes, watch "

ok thank you

do you know why you are here in the hospital?

"yes, watch"

****

in another senario:

do you know why you are here?

"i have problems remembering things"

since when has that been???

=)

  • above sign is called perseveration

Saturday, September 11, 2010

antara sensitiviti isu dan kecelaruan identiti

beberapa hari yang lalu sempat saya berbual dengan beberapa orang rakan tentang iklan raya kontroversi yang ditayangkan minggu lepas. alhamdulillah iklan itu ditarik balik dan pihak bertanggungjawab telahpun meminta maaf. oleh itu saya pun tidaklah berminat untuk mendalami atau mengungkit lebih-lebih isu berkenaan. namun apa yang ingin saya sampaikan ialah pandangan saya di sebalik isu itu.

alhamdulillah majoriti warganegara terutamanya melayu muslim masih senstisif dan peka terhadap isu yang melibatkan identiti agama Islam yang suci. sesetengah pihak menganggap isu ini besar mampu memesongkan akidah. sesetengah pihak lain pula menganggap ianya isu kecil dan saja diperbesarkan oleh pihak tertentu atas kepentingan masing-masing, samada politik mahupun sekadar ingin berdrama. ada juga pihak yang terlebih tafsir dengan terlalu detail isu ini tanpa sebarang hujah asasi dengan mengaitkan isu ini dengan iluminati; wallahu'alam. saya pula secara peribadi lebih memihak pada pandangan pertama. pada masa yang sama, menganggap ianya isu yang kecil berbanding isu-isu yang lebih besar. ini kerana, isu itu hanyalah manifestasi kecil dari masalah kecelaruan kefahaman umat Islam terhadap agama mereka yang sudahpun berakar umbi. umpama dahan pokok yang buruk tumbuh dari akar yang tidak elok. isu berkenaan hanyalah dahannya. potong satu dahan, dahan lain yang akan tumbuh. malangnya akar pokok tidak kelihatan dan tiada siapa peduli dan sedar bahawa menjadi keperluan untuk kita mencabut akarnya.

sedar tidak sedar isu ini sudah lama, bukannya bermula pada tahun ini tetapi semenjak saya sekolah menengah lagi. malah mungkin lebih lama dari itu. amat sedih sekali ramai yang tidak tahu, lebih teruk ada yang tidak peduli. sebelum ini timbul isu 'kongsi raya', 'deepa raya' dan lain-lain. ketika itu juga umat Islam yang peka akan bangun dengan menghantar protes. namun setelah isu mereda akan timbul isu lain. seperti yang saya tulis sebelum ini, potong satu dahan, dahan lain akan tumbuh. akarnya tiada siapa yang berusaha untuk cabut. lebih-lebih lagi dengan sikap 'hangat-hangat tahi ayam' kita yang perlu diubah. kebanyakkan kita hanya akan sedar apabila ada isu hangat dan kontroversi. itu jelas membuktikan ketidaksedaran umat akan isu sebenar hasil daripada sistem pendidikan Islam yang tidak mampu diimplementasikan sepenuhnya.

pada pendapat saya, punca utama timbul sedemikian adalah kerana kita tidak mampu mengiktiraf Islam sebagai agama dan sistem tertinggi yang datangnya dari Allah yang Maha Suci. kita terlalu berkompromi dengan agama lain. lalu demi menjaga hati mereka kita 'merendahkan diri' untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah. dengan kata lain kita sepatutnya menentang konsep pluralisme. kita tidak menentang dan tidak sesekali menghina amalan agama lain. mereka bebas mengamalkan apa yang mereka percaya. dan mereka pula perlu sedar seandainya sistem kehidupan Islam diimplementasikan, ianya tidak sedikit pun akan menganggu amalan agama mereka. "kalau begitu bagaimana pula dengan pengharaman arak dan judi (dll)". setahu saya tiada agama yang menyuruh penganutnya untuk wajib meminum arak dan berjudi sebagai contoh. seandainya ada, maka kita boleh berbincang. tetapi saya yakin tiada.

orang luar tidak memahami agama kita tiada masalah. logiknya, memang sukar untuk kita menerima sesuatu yang baru. tetapi yang menjadi masalah ialah apabila 'orang kita' sendiri yang celaru dan tidak sensitif. analoginya begini; saya pelajar Monash University dan saya berusaha untuk mempromosikan kursus perubatan kepada orang luar. seandainya ada orang lain dari universiti lain yang memperlekehkan Monash University, maka saya tiada kuasa untuk menghalang. tetapi akan menjadi malapetaka besar apabila ada kawan saya dari Monash University sendiri yang memperlekehkannya dan menyebarkan masalah dalaman kepada orang luar. sama jugalah seandainya negara luar ingin mengkritik malaysia berbanding rakyat malaysia sendiri yang membuka pekung di dada. daripada contoh itu, maka kita dapat melihat bagaimana tenatnya umat kita apabila muslim sendiri yang tidak faham Islam dan bertindak menghina Islam. dan ini berlaku kerana kecelaruan mereka terhadap identiti mereka sendiri. dalam mengambil kira sudut geografi dan sosial, perkara ini menjadi masalah apabila orang melayu kita tidak mengasimilasikan jati diri muslim sebagai identiti asal-usul mereka. sebaliknya mengambil identiti barat kononnya identiti itu lebih universal dan kononnya lebih mampu menjaga hati orang lain.

berbalik kepada isu asal, 'ya', isu ini isu kecil, secara relatif. isu buang bayi juga isu kecil, secara relatif. isu muslim tidak maju-maju juga kecil, secara relatif. banyak lagi isu. kesemuanya kecil secara relatif berbanding isu muslim yang tidak mengenal asal-usul agama, jauh lebih relatif berbanding muslim yang celaru akidahnya. kesemuanya hanyalah manifestasi-manifestasi yang tumbuh dari akar yang tidak elok, iaitu akidah yang tidak jelas. akidah yang umumnya difahami sekadar melafazkan syahadah. seandainya begini, mana mungkin kita mampu mengamalkan agama sepertimana agama Islam itu sepatutnya terbentuk, sepertimana Nabi s.a.w. bawa dan sepertimana para sahabat telah amalkan. jelas sekali tiada kecelaruan isu ketika itu. jelas sekali penganut agama lain juga mampu hidup dengan aman ketika itu.

oleh itu, menjadi satu keperluan kita untuk kembali kepada asal-usul dan mendalami semula ilmu-ilmu asasi Islam; Al-Quran dan Sunnah melalui proses pentarbiyahan yang berterusan. ini supaya kitalah yang akan menjadi cerminan terbaik buat masyarakat. dan yang lebih penting pendirian kita tetap berlandaskan syara' dan tidak mudah goyah terpengaruh dengan isu-isu semata-mata. kita bukanlah umat yang tersentuh, terpengaruh dan naik angin berdasarkan isu. isu akan datang dan pergi. sebaliknya umat yang sentiasa bergerak, aktif dan berfungsi berdasarkan agenda dan ideologi yang akan terus kekal.
wallahu'alam


Thursday, September 9, 2010

seandainya mereka bersama...

alhamdulillah, harapnya tahun ini adalah tahun terakhir aku bergelar pelajar perubatan. tahun ini juga tahun terakhir aku berpuasa dan menyambut hari raya sebagai seorang pelajar. InsyaAllah tahun depan doktor. lebih banyak tanggungjawab dan komitmen. memikirkan itu, terkenang kembali kisah-kisah silam sepanjang berada di sini, terutamanya di Monash University, malaysia dan australia. apatah lagi kisah silam bersama rakan seperjuangan ku yang tidak pernah kami terpisah sejak tahun pertama, emet dan fitri. rasanya inilah tahun pertama aku tidak seharipun mengharungi ramadhan bersama mereka, tidak sekalipun iftar bersama dan tidak juga berkesempatan menyambut kemenangan.

tahun satu

aku ke rumah fitri di danderong road berjalan dari stockdale. bertemu emet di situ. duduk sekali merancang program iftar. rasanya hampir tiga kali kami membuat program. satu jemputan pelajar first year, satu jemputan teman seliqa' satu jemputan umum warga clayton. tugasan kami gilirkan.
pernah sekali, makanan yang dimasak kami anggarkan tidak cukup untuk jumlah tetamu yang datang. bajet untuk sepuluh, yang datang berbelas. namun alhamdulillah cukup; keberkatan ramadhan dan keberkatan berukhwah terbukti, ibarat hadith: "makanan seorang cukup untuk dua orang, dan makanan dua orang cukup dua tiga...."

tahun dua

pulang ke malaysia membawa risalah, itulah agenda kami. ramadhan kali ini pada mulanya penuh dengan cabaran. tahu-tahu sajalah suasana 'baru' di malaysia. namun setelah dilihat kembali, kemanisan hanya akan dirasai setelah berpenat lelah.
ramadhan itu kami ke kajang, berulang setiap khamis dari sunway untuk menyiapkan projek kerjasama dengan Persatuan Kanak-kanak Istimewa Kajang. selesai di kajang terpaksa pecut semula ke sunway untuk menghadiri kelas Islamic studies. hari yang penuh. ringkasnya, keluar 7 balik 7. adakalanya berbuka di dalam kereta kerana terpaksa mengharungi kesesakkan lalu-lintas.




tahun tiga


kali pertama jejak di johor bahru. mengharapkan pantai tetapi tiada. awal ramadhan ahli rumah semuanya balik, yang tinggal aku dan emet. waktu tu bersemangat nak buat ikan bakar. maka kami pun buatla dengan resipi sendiri. rasanya tak jadi, sebab tu tak pernah mencuba lagi.

majlis berbuka agak lain sebab diraikan dengan kehadiran otak-otak kempas yang tak pernah jumpa pun sebelum ini.







tahun empat

ramadhan tahun ni tak macam ramadhan lain. sebab semua orang terlalu preoccupied dengan study untuk final.


tahun lima


ramadhan di australia membuatkan aku teringat kisah-kisah lalu, terutamanya sewaktu tahun pertama. kali ini juga aku berpeluang berkenalan dengan rakan-rakan baru, budak-budak tahun pertama yang akan memberi sinar harapan baru terhadap Islam. lantas itu juga aku mengambil kesempatan untuk mengajar mereka ertinya pada berukhwah dan ertinya pada memberi dengan mengadakan kerjasama untuk menjayakan program iftar. alhamdulillah dapat berkenalan dengan lebih mendalam. menariknya kali ini lima pelajar tahun satu, satu pelajar tahun lima.

aku selaku ketua chef, masak rendang ayam. kesemua junior tetap menyumbang dengan sepenuh tenaga; Nassier, Hanif, R, Joel dan Arifku. selaku budak utara aku mempunyai threshold rasa pedas yang agak tinggi. jadi kepedasan rendang itu tidak menjadi masalah pada aku. malah tak rasa pedas pun. malangnya tiada orang untuk countercheck. lalu setelah dihidang, dengan keadaan heater gas dipasang dan berpakaikan sweater maka cukup untuk tiga suapan nasi membuat badan terasa terbakar. 'bomba' pulak lambat sampai. muka tetamu merah berapi. aku pula merah malu. rasa penuh down ketika itu. kalau bukan kerana niat untuk menjamu orang berbuka lillahi taala rasanya sukar untuk muhasabah diri dan bangun semula dari perasaan itu.

program suka-duka sehari. junior pun katanya banyak belajar. yang pentingnya timbul kesedaran untuk menjadi lebih matang. apapun, sepanjang menjayakan program itu, mereka berdua tetap aku kenang kembali. inilah rasanya tahun terakhir sekali, tahun depan belum tahu.

seandainya mereka bersama...


Pengajaran Perpisahan

tahun pertama di OZ dan tahun terakhir juga di OZ. tahun ni banyak mengajar tentang kehidupan terutamanya tentang perhubungan kami. satu demi satu peristiwa mengarahkan pemikiran aku terhadap hal ini. selepas peristiwa yang menimpa fitri aku pula terlibat dalam kemalangan. emet terpaksa berlepas ke australia seorang diri.

apa yang aku belajar ialah bahwasanya kita merancang tetapi perancangan Allah yang tetap akan terlaksana. bahwasanya kami bertiga adakalanya perlu dipisahkan untuk membuktikan yang kita secara individu cukup kuat untuk berdiri sendiri, perlu yakin terhadap kemampuan diri dan terus berdikari. namun yang paling penting, seandainya kekuatan itu digabungkan untuk kepentingan Islam maka untuk 'triple therapy' tiada halangan yang tak mampu kita tempuhi.

hampir lima tahun bersama, tidak pernah aku mempunyai kawan selama itu disebabkan sejarah hidup yang sering berpindah. apatah lagi lima tahun bersama bukan setakat belajar, tetapi tinggal bersama, tidur sebilik, bangun qiam sekali, masak dan makan setalam. pahit, manis, masam dan masin semua dari talam kehidupan itu.

adakalanya bengang dan adakala tidak puas hati. kadangkala hubungan lenggang tetapi sebenarnya seringkali simpati. disebabkan ego yang meninggi, tidak pandai mempamerkan kasih di hati.

'AidilFitri

esok raya insyaAllah. juga ulangtahun kelahiran fitri; (hijri). semoga mereka meraih kemenangan dan terus tsabat di jalan perjuangan.

atas kesempatan itu juga aku ingin memohon maaf serta mengucapkan "Taqabbalallahu minna waminkum," Semoga Allah menerima amalan kami dan kamu semua

insyaAllah aku menanti suasana baru esok bagi menyambut kebahagian bersama rakan-rakan di sini.

walaubagaimanapun akan tetap lebih manis seandainya mereka bersama...


Monday, August 30, 2010

merdeka! merdeka! merdeka??

manghayati erti sebenar kemerdekaan. moga bermanfaat








video adalah hak cipta biro SURIA Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Australia

Saturday, May 29, 2010

sekadar nama?

suatu pagi di klinik pembedahan saya ditugaskan untuk 'clerk' (menemubual) seorang pesakit. saya melihat namanya pada kad rekod dan memanggilnya. "Khatija" (bukan nama sebenar). saya menoleh ke kiri dan ke kanan untuk melihat siapakah orangnya. Seorang perempuan tidak bertudung bangun dan memandang ke arah saya. Muka seakan-akan Cina-Jawa. mungkin orang lain. "Khatija Kamal". saya masih tercari-cari si pesakit. perempuan tadi menghampiri saya dan memberitahu yang dialah "Khatija". Saya agak terkejut.

saya membawa dia masuk ke bilik doktor dan memulakan proses menebual. dia memberitahu saya dia berasal dari Indonesia, berbangsa Cina, berkahwin dengan orang Malaysia, bernama "Khatija", beramalan dengan ajaran Buddha.

selesai tugasan hari itu saya pulang ke rumah memikirkan isu ini; adakah nama sekadar nama? atau nama membawa pengertian yang lebih besar.

nama memberi identiti, mencerminkan budaya, dan secara tidak langsung melambangkan agama seseorang individu.

soalnya? seorang non-Muslim menggunakan nama yang umumnya menganggap nama itu sebagai identiti muslim; adakah ia akan memberi gambaran negative kepada Islam sekiranya dia tidak beramal dan berakhlak seperti seorang muslim. jelas sekali dia tiada halangan dan batasan-batasan agama. tak perlu segan silu. "Seng muhammad meminum arak".

soalnya? seorang muslim menggunakan nama yang umumnya menganggap nama itu sebagai identiti muslim; adakah dia juga akan gamabran negative sekiranya seperti di atas. namun logiknya atas kesedaran Islam (conscience), mungkin dia agak malu untuk melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan masyarakatnya secara terang-terangan. melainkan masyarakatnya juga seperti dia. krisis yang melanda kaum Melayu dan juga Arab

soalnya? seorang muslim menggunakan nama yang umumnya menganggap nama itu sebagai identiti agama lain; 'Alexander bin Ali' yang ini pula bagaimana? mungkin rasanya tiada masalah. isunya terletak pada kebanggaan ibu bapanya dengan nama-nama Islam. Barat menguasai budaya sekarang. jadi lebih 'cool' dan lebih 'glamour' sebegitu. 'trend' ibu bapa sekarang

soalnya? adakah sekadar nama?

Friday, May 28, 2010

Salah Laku Seksual Remaja Kita; Apakah Jalan Penyelesaiannya?

article dari laman: pembina.com.my


Kes A

Gadis A, berumur 16 tahun didapati kerap berkeadaan murung. Apabila ditegur oleh ibunya, A cuba mengelak. Namun keadaan perutnya yang semakin membuncit menyebabkan sukar untuk A menyimpan rahsia tersebut. A melarikan diri dan tinggal bersama keluarga angkatnya di ibu kota. Beliau hanya dibawa ke hospital untuk melahirkan kandungannya ini.
Kes B
Gadis B, berumur 18 tahun adalah seorang pelajar kolej swasta yang sangat aktif. Akibat ketelanjuran bersama teman lelakinya, B disyaki mengandung. Ujian kencing yang dibuat di sebuah klinik swasta mengesahkan bahawa B telahpun hamil dan kandungan janin kembar telahpun disahkan melalui ujian ultra sound. B cuba untuk menyembunyikan kandungannya sehingga terpaksa ponteng kuliah. Rahsianya terbungkar apabila B melahirkan kandungan kembarnya yang pramatang di dalam tandas asrama kolej tersebut.


Kes C

Gadis C, berumur 15 tahun adalah seorang pelajar sekolah menengah. Beliau ditahan oleh pasukan polis kerana disyaki membuang bayinya apabila mayat seorang bayi yang baru sahaja meninggal dunia ditemui kira-kira 100 meter daripada rumahnya. Walaupun C menafikan dakwaan tersebut, pemeriksaan kesihatan telah mengesahkan bahawa beliau mempunyai banyak tanda-tanda bahawa gadis C baru sahaja melahirkan kandungannya.





Pendahuluan


Begitulah sebahagian daripada ratusan kes senario yang pernah saya depani berlaku akibat salah laku seksual remaja. Berita seumpama ini semakin kerap dilaporkan di dada-dada akhbar dan di kaca-kaca televisyen. Orang ramai pula semakin risau dan mula bersuara walaupun majoritinya masih buat tidak kisah terhadap gejala sosial yang semakin merebak ini.


Statistik


Kita tidak mempunyai laporan statistik yang tepat mengenai jumlah sebenar remaja yang hamil di Malaysia. Namun peningkatan kejadian buang bayi, remaja ponteng dan berhenti sekolah, remaja melarikan diri dari rumah dan peningkatan kes-kes remaja yang hamil dan bersalin membuktikan bahawa permasalahn ini menjadi semakin parah. Malahan saya pernah berhadapan dengan 3 kes remaja yang hamil yang hampir melahirkan anak ketika mereka hanya berumur 13 tahun. Dinisbahkan sebagai pelajar sekolah menengah, mereka baru berada di tingkatan satu.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim telah menyatakan bahawa seramai 17,303 anak luar nikah Melayu telah didaftarkan di seluruh Negara sepanjang tahun 2009 seperti yang dilaporkan oleh akhbar Berita harian bertarikh 21hb Mac 2010. Menurut beliau lagi, bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,1000. Ini bererti seramai kira-kira 65 bayi di luar nikah dilahirkan di kalangan orang Melayu. Jumlah ini tidak termasuk di kalangan kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


Walaupun laporan JPN dan JKM tidak pernah menyatakan umur sebenar ibu-ibu yang melahirkan anak di luar nikah ini, kejadian ini seharusnya sudah lebih dari cukup untuk membuka mata masyarakat umum bahawa salah laku seksual atau lebih tepatnya kejadian zina semakin merebak termasuk di kalangan remaja Melayu.

Sebahagian besar daripada mereka yang terlibat dalam gejala seks luar nikah adalah di kalangan kumpulan remaja di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan juga di sekolah menengah. Ini merupakan satu kejadian yang sangat menggerunkan kita semua.


Punca-punca Kejadian


Memang banyak pendapat dan kritikan daripada pelbagai pihak yang diutarakan apabila gejala pembuangan bayi mendapat liputan meluas media. Ada yang menyalahkan remaja yang tidak berupaya mengawal tuntutan nafsu, malah ada juga yang menuding jari kepada institusi keluarga yang goyah. Ada yang menyalahkan pihak sekolah yang gagal mengawal disiplin pelajarnya dan ada yang mengkritik kementerian pendidikan yang gagal memperkenalkan pendidikan seks kepada remaja berkenaan. Ada yang menyalahkan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan ramai yang mempertikaikan usaha ulama yang terlalu sedikit bagi membendung masalah ini.

Ada yang mengatakan gejala pembuangan bayi adalah kesan akibat pembangunan pasca kemodenan. Pada era globalisasi dengan kecanggihan perkembangan teknologi komunikasi turut mempengaruhi perlakuan seksual remaja. Ada yang mengatakan bahawa media adalah punca bagi segala-galanya dan kerajaan bertanggung-jawab sepenuhnya terhadap kejadian yang semakin merebak ini.

Cadangan Jalan Penyelesaiannya


Persoalannya yang utama sekarang bukanlah untuk kita menuding jari kepada siapa yang paling bersalah di dalam hal ini tetapi adalah bagaimana permasalahan ini boleh kita tangani bersama sehingga ke tahap sifar atau minima sekurang-kurangnya.


1-Peranan ibubapa


Ibu bapa adalah contoh tauladan kepada anak-anak dan berperanan untuk mendidik anak-anak dengan didikan Islam dan akhlak yang terpuji semenjak mereka kecil lagi. Para ibu bapa yang tidak berkemampuan mesti memohon bantuan dan pertolongan dari pihak-pihak lain yang boleh membantu mereka dalam mendidik anak-anak. Aktiviti anak-anak serta keluar masuk meraka mestilah diperhatikan secara berpatutan sebelum nasi menjadi bubur.


2-Peranan Remaja


Remaja sendiri mestilah pandai menjaga diri masing-masing dengan memilih rakan-rakan yang baik sebagai kawan sepergaulan mereka. Mereka seharusnya memiliki idola remaja yang boleh diikuti sebagai pemangkin kepada kehidupan mereka yang yang bermotivasi yang berasaskan kepada contoh tauladan yang baik.

3-Peranan Masyarakat Awam


Dalam kehidupan sosial, Islam telah menentukan sistem perkahwinan, batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita, batasan aurat bagi lelaki dan wanita dan sebagainya yang mana ia akan mencegah pelbagai punca kepada pintu penyimpangan seksual yang mengakibatkan kerosakan akhlak dan lain-lain. Islam memandang masyarakat sebagai kumpulan individu yang memiliki pemikiran dan perasaan yang sama, serta interaksi di antara mereka perlu diatur oleh suatu aturan yang tertentu.


Masyarakat awam mesti bersikap sensitif dengan apa yang berlaku di sekeliling kita. Kita semua mesti berperanan untuk memperbaiki keadaan yang ada sekarang.


4-Peranan NGO


NGO memainkan peranan yang sangat penting dalam menangani permasalahan ini. NGO boleh membantu remaja menghala-tujukan kehidupan mereka agar lebih terarah dan terurus. Banyak NGO di Malaysia yang bergiat aktif bagi menangani permasalahan remaja Melayu seperti Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), ABIM, HALUAN, JIM, Yayasan Amal dan lain-lain. Aktiviti-aktiviti dan program yang dianjurkan oleh NGO-NGO ini yang mengambil berat mengenai remaja seharusnya disokong oleh semua pihak termasuk dari pihak kerajaan sendiri. Bantuan teknikal dan kewangan yang diperlukan oleh NGO yang menangani remaja seharusnya disalurkan kepada mereka secara yang optima.
5-Peranan Guru dan Sekolah

Guru-guru dan sekolah memainkan peranan yang sangat penting dalam pendidikan remaja. Fokus pendidikan tidak hanya terfokus kepada pencapaian akademik semata-mata. Aktiviti-aktiviti dan program pelajar juga mestilah menjuruskan kepada pembinaan sahsiah yang terpuji dan pembinaan generasi muda yang cemerlang yang bakal menggantikan kepimpinan negara di masa aka datang. Pelajar-pelajar yang bermasalah mestilah dikenalpasti dengan lebih awal dan disalurkan kepada program pemulihan atau panambahbaikan secara sistematik.


6-Peranan Kementerian Pelajaran


Usaha Kementerian Pelajaran bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang merangka dan menyelaraskan Garis Panduan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (GPPKRSK) dengan peruntukan RM 20 juta bagi menangani masalah terbabit adalah amat dihargai. Namun usaha ini tidak membuahkan sebarang hasil yang positif sekiranya tidak dilaksanakan secara serius atau secara sambil lewa sahaja. Cadangan untuk memperkenalkan pendidikan seks kepada remaja di sekolah adalah cadangan yang baik tetapi mestilah dimulakan dengan kajian yang mendalam bagi mempastikan keberkesanan penyampaian silibus tersebut. Penglibatan para ibu-bapa memahami isu ini dan sokongan terhadapnya pasti akan membantu keberkesanannya.

Kementerian juga berperanan dengan peranan yang lebih luas yang tidak hanya memfokuskan pelajar dan guru dengan kejayaan dalam bidang akademik sahaja bahkan juga cemerlang di dalam pembentukan sahsiah dan kepimpinan remaja.


7-Peranan Media


Media memainkan peranan yang sangat penting terhadap apa yang telah dan sedang berlaku pada ketika ini. Remaja negitu terpengaruh dengan budaya barat dan apa yang ditunjukkan oleh para artis samada dari dalam atau dari luar Negara. Sudah semestinya perlu ada pengawalan media terhadap semua filem luar mahupun tempatan agar tidak bersifat keterlaluan dalam usaha untuk menghiburkan masyarakat umum. Majalah dan penerbitan lucah mesti dihentikan seberapa segera oleh pihak berwajib agar tidak terus menyuburkan budaya yang negatif ini. Sebelum nasi menjadi bubur, langkah-langkah proaktif kepada pihak media mestilah disegerakan.

8-Peranan Parlimen


Permasalahan salah laku seksual remaja dan belia kini sudah sampai ke tahap yang kritikal. Isu ini mestilah dibincangkan secara serius di peringkat parlimen tanpa memandang kepada mana-mana latar belakang parti politik. Ahli politik dan ahli parlimen mestilah mengenepikan pandangan peribadi dan kepartian bagi menangani isu nasional ini. Permasalahan remaja dan belia ini adalah agenda bersama yang mesti diperjuangkan oleh semua pihak.

Penutup


Remaja dan belia adalah agen perubahan. Remaja dan belia hari ini adalah pemimpin yang akan memimpin negara di masa akan datang. Permasalahan remaja hari ini yang semakin kritikal memerlukan usaha yang menyeluruh lagi bersepadu daripada semua pihak. Bukanlah masanya yang tepat untuk kita menuding jari kepada pihak-pihak yang tertentu bagi memikul beban dan tanggung-jawab ini. Ini adalah isu nasional yang mesti ditangani oleh kita semua sebagai agenda bersama.


Oleh :

Prof Madya Dr Zainur Rashid Bin Zainuddin

Beliau juga adalah merupakan:

Timbalan Dekan International Medical University
Seremban

Dan

Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi
Hospital Tuanku Jaafar
Seremban

Sunday, May 23, 2010

sedar tak sedar - nak habis 1st rotation

sedar tak sedar hampir 12 minggu sudah berlalu sejak saya bermula menyambung pelajaran semula. walaupun pada mulanya ada sedikit keraguan akan tahap kemampuan diri untuk meneruskan pelajaran, namun Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.

adakalanya terasa lemah, sebab tak mampu 'rancak' seperti dulu. yela.... ambik darah tiga kali, ketiga-tiganya gagal. urat besar-besar pulak tu.

biar rebah, tetap tabah
di medan perang teruskan berjuang
usaha tetap usaha,
jatuh bangun semula
pantang putus asa


klip motivasi

Thursday, March 25, 2010

critical care

hari demi hari berlalu, semakin hampir saya dengan penghujung sesi pengajian. walaupun rasanya masih ada satu tahun lagi, namun tidak dapat dihalang keinginan fikiran untuk mengandaikan masa depan.

adakalanya masih rasa tidak kompeten dan belum bersedia. sepanjang sesi pendewasaan saya dalam bidang ini, saya mendapati bahawa isunya bukanlah penguasaan fakta, namun kemampuan unttuk 'tebal muka' dan kesanggupan untuk menerima kritikan.

mereka yang berada diluar bidang ini akan berkata 'biasala kene marah dengan bos, itu kerja'. tetapi mereka tidak faham perbezaan antara kena marah dengan bos dan kena marah dengan bos didepan klien. HO dimarah pakar didepan pesakit. sama juga seorang guru dimarahi pengetua didepan murid. seandainya ahli perniagaan dikritik oleh majikan didepan pelanggan, sudah tentu pelanggan kurang mempercayai peniaga itu.

walagaimanapun senario seperti itu akan melahirkan dua jenis manusia; yang pertama orang yang lemah dan cepat putus asa kerana tidak sanggup menghadapi tekanan. yang kedua mereka mereka yang lebih tabah, gigih, sabar dan lebih kuat dalam perjuangan.

setiap hari yang baru saya cuba untuk memahatkan konsep ini didalam fikiran agar suatu hari ia menjadi sebuah peribadi yang tetap.pinjam kata Al-Banna 'masa sebahagian dari rawatan'.

harapnya saya dan sahabat-sahabat diluar sana akan menjadi yang kedua insyaAllah. semoga pengalaman ini akan mengukuhkan lagi langkah dalam perjuangan hakiki.


ps: terjumpa gambar ini setelah sekian lama

Monday, March 15, 2010

todays lesson

"physicians know everything, but do nothing

surgeons know nothing, but do everything

psychiatrist know nothing, do nothing"


no offense.. =)

Sunday, March 14, 2010

mereka tahu, tapi...?

seorang ustaz melanjutkan pelajaran ke Russia.

pensyarah menanyakan pendapatnya tentang masalah sosial remaja russia;

"saya berpendapat masalah sosial remaja amat teruk sehinggakan mereka boleh bercumbuan di khalayak ramai tanpa segan silu; lebih dahsyat lagi berbanding dunia barat yang lain."

jawab pensyarah

"kamu di malaysia lain. Ada Islam"

dari rancangan: tanyalah ustaz tv9
tarikh: 14 Mac 2010 jam 7.00 pagi

Tuesday, March 9, 2010

tanah tumpahnya darahku

setelah masuk tahun akhir pengajian, saya memerhatikan ada dua topik yang hangat diperbincangkan pelajar terutamanya sahabat terdekat; pertama soal tempat kerja, kedua soal kahwin. walaupun topik kedua lebih hangat, menjadi perhatian saya untuk menyentuh sedikit topik pertama.

antara kriteria untuk memilih tempat (bukan calon):
  1. amal jam'ie kawasan
  2. dekat dengan rumah orang tua yang makin uzur
  3. dekat rumah kerana senang
  4. hospital besar agar banyak belajar
  5. tempat baru untuk meluaskan perspektif
  6. tempat sama sebab dah biasa
  7. luar negara lebih mudah dan income tinggi
  8. luar negara supaya boleh minta PR (permanent resident)
pandangan peribadi saya, alasan (1) dan (2) tidak patut dikompromikan. ramai yang berhajat untuk bekerja di luar negara, niat masing-masing yang akan menetukan kemuliaan suatu pekerjaan. tetapi yang menyentuh hati saya kali ini, seorang doktor yang bukan bumiputra berkata kepada saya:


"it's better to work in Malaysia, serve our country, serve the people"

saya terkejut pendirian itu datang dari dia. sedangkan anak jati bumi ini memburu keselesaan di negara orang.




kita pergi orang biar
orang datang kita alukan
Bumi di sana sudahpun belajar
jangan tuannya jadi pelarian

di mana mahu letaknya maruah
jikalau tergadai rumah sendiri
di mana akan tumpahnya darah
jikalau bumi ini tiada erti

Monday, March 8, 2010

sekadar elektif 001

hari ini hari pertama saya kembali belajar di wad setelah sekian lama. saya membuat keputusan untuk mengambil general medicine di Hospital Seberang Jaya. Tujuan:
  1. dekat dengan rumah
  2. mudah untuk rawatan lanjutan terutamanya fisioterapi
  3. general medicine adalah asas
  4. nak pendedahan struktur kerja HO di hospital daerah
  5. suasana baru
selalunya hari baru, tempat baru semangat pun baru. entah kenapa tadi tidak sebegitu. risau, keliru dan masih terasa helpless. siang tadi tak mampu nak buat apa-apa. nak clerk pesakit, otak pun dah wasted rasanya. ramai staf tidak perasan keadaan saya, mungkin sibuk dengan tugasan. sehinggakan ada houseman minta tolong pasangkan branula pada pesakit. saya hanya menunjukkan tangan dan berkata 'fractured olecranon'

apa yang terkejut tadi, saya bersua dengan senior saya di university dulu. kali pertama berkenalan ketika bermain pingpong semasa saya tahun ketiga. nak mengharapkan bantuan, dia pun baru hari ketiga bertugas, masih nak berjinak-jinak dengan tugasan. katanya ada dua orang lagi pelajar Monash, masing-masing di wad perbidanan dan ortopedik. sekurang-kurangnya nanti seandainya berhajat bertugas disini ada orang untuk tunjuk ajar.

first impression di sini:
  1. menarik
  2. tidak sibuk dan kelam-kabut sangat
  3. peluang belajar tetap banyak
  4. ruang untuk amal hakiki mungkin lebih luas
apapun kesimpulan cerita rasanya tidak boleh tulis sekarang. rasanya setelah selesai posting simpulannya lebih persis dan padu. yang pastinya; pendedahan di tempat baru adalah tarbiyah yang amat berharga.

sekian

Thursday, March 4, 2010

doctor vs patient

empat tahun mengharungi pengajian perubatan telah mengajar saya banyak perkara. kursus ini juga telah sedikit sebanyak membentuk karakter, pemikiran dan pendirian saya bukan saja sebagai seorang bakal doktor, malah sebagai insan lebih-lebih lagi sebagai seorang muslim.

ketika tahun pertama dahulu rata-rata pelajar tidak puas hati dengan syllabus monash yang sikit sekali menyentuh tentang ilmu perubatan. sebaliknya lebih menitikberatkan sains sosial; sociology, ethics, law dan lain-lain . dikala itu, kami menganggapnya tidak penting. ramai tutor yang walaupun tidak menentang tapi selalu mengutuk di belakang dengan alasan tidak praktikal. malah ada seorang groupmate saya keluar university dengan alasan "i'm not paying 80k a year to learn meditation".

ketika permulaan latihan klinikal di Hospital Sultanah Aminah, kegelisahan kian tampak. gelisah sebab tidak bersedia. asas physiology tidak mantap, apatah lagi anatomy. saya secara peribadi agak lambat untuk mampu mengaitkan antara teori dan praktikal.

namun apa yang saya perhatikan sekarang adalah, realiti bidang kedoktoran tidak memerlukan pengkajian mendalam dari aspek teori, tetapi lebih mementingkan kefahaman dan kebolehan untuk befikir secara rasional dan kritis. hasil dari itu, sekarang saya lebih menghargai pelajaran yang saya dapati. yang paling utama ialah bagaimana memahami pesakit yang bukan sekadar objek untuk diubati tetapi sebagai insan yang berperasaan dan mempunyai fikiran sendiri.

sebulan sebagai pesakit telah membuka mata kepada suatu realiti yang lebih besar iaitu; untuk merawat penyakit itu mudah tetapi untuk menghadapi pesakit amat memerlukan kebijaksaan dan hemah yang tinggi atau izinkan saya pinjamkan perkataan wisdom.

sakit badan cucuk ubat

sakit hati taktau nak buat

putus asa berdepan musibat
sebenarnya mengharapkan nasihat
disamping memanjatkan hidayat

supaya terus kuat
dan kekal tsabat

untuk kehidupan yang lebih berkat

wisdom berinteraksi dengan pesakit memerlukan pengalaman klinikal yang luas. namun ia juga perlu diajar dan dipraktikkan di peringkat awal terutamanya semasa di 'med school'. kami diterapkan kaedah interaksi yang baik dengan pesakit melalui sesi 'consulting skill'. Sejauh mana diamalkan nanti, bergantung kepada prinsip masing-masing. dibawah adalah sedikit pengalaman sewaktu menjadi pesakit:

The Aftermath

Selepas kemalangan saya dimasukkan hospital berdekatan. setelah selesai 'superficial dressing' dan X-ray di wad kecemasan saya dimasukkan ke wad pembedahan. keesokan hari 'house officer' (HO) datang jam 7 pagi dan membuka balutan. luka ditutup dengan 'sterile blanket' kemudian dibiarkan saja dan pergi melayan pesakit lain. saya dibiarkan terkapai-kapai kesakitan dan tidak tahu akan yang yang akan berlaku seterusnya. nak ke tandas pun susah sebab luka tak berbalut.


pegawai perubatan (MO) datang 9 pagi. rasanya masih baru sebagai MO. dia kelihatan keliru. dia terus memegang siku saya dan cuba menggerakkan tanpa menanyakan akan sebarang kesakitan "dislocate ke ni? eheh dislocate la beb". dia melihat X-ray "jari you hancur tau tak". saya hanya memberi respon dengan raut wajah yang berkedut. perasaan saya ketika itu; risau dan marah. risau kerana dislocate yang lambat dibetulkan membawa kepada prognosis yang lebih buruk. marah kerana cara doktor untuk membuat reaksi.

setelah mendapat pandangan MO orthopedic, saya dinasihatkan untuk menjalani pembedahan. dia hanya mengatakan paling awal seminggu lagi. tiada penjelasan lanjutan. setelah pulang ke rumah baru saya faham yang pembedahan perlu untuk kurangkan risiko arthritis.

Post - Op

Setelah menjalani pembedahan, rawatan diteruskan dengan physiotherapy. hampir dua minggu diperlukan untuk membolehkan jari-jemari ini mengenggam semula. pada masa yang sama siku dibiarkan statik. selepas 3 minggu tidak bergerak siku menjadi tegang dan otot di sekeliling keras. physio ketika itu teramatlah sakit, lebih sakit dibandingkan ketika kemalangan. sakitnya sehingga perut terasa memulas dan apabila berdiri terasa nak pitam. tambah pula selera makan hilang dan tidur pula 4 jam siang serta 8 jam malam. letih sakit nak menggerakkan tangan.

ketika sesi physio, therapist menyuruh saya untuk rileks supaya memudahkan pergerakan otot. adakalanya dengan nada yang agak marah. saya berhujah dengan mengatakan "mana boleh relax. otot ni ada reflex. dia automatik keras. takkan tu pun tahu." namun dia tetap berkeras. saya hanya membiarkannya kerana saya tahu dia juga masih belajar seperti saya. malah kalau diikutkan umur dia jauh lebih muda.

pada sesi physio yang seterusnya saya mengambil kesempatan berkongsi sedikit pengalaman klinikal dengan pelajar physiotherapy itu. dia sendiri mengalami masalah anxiety - specific phobia. sambil berkongsi penglaman saya cuba membantunya dengan sesi psychotherapy.

".....apa yang bermain di fikiran bila berjumpa singa tu"

"entah, tak tahu. takut. singa tu macam besar sangat. rasa macam dia nak makan"

setelah bertanya dengan lebih lanjut saya pun bercerita

"memang takut. perasaan tu susah untuk lawan. tetapi boleh dengan cara yang betul. orang lain selalu akan kat 'ala nak takut apa! tu pun takut', tapi kalo macam tu kita dengar pun tension. kita kena faham perasaan orang yang melalui problem tu."

"sama jugala dalam kes physio ni. bukan senang nak rileks muscle. cakap senang. tapi kena ambil kira perasaan patient. lain kali kena brief patient dulu;

'encik saya nak buat stretching siku sket. saya nak tarik tangan bagi lurus. memang akan sakit la kalo first time. jadi kalo bole tolong rilekskan muscle. tu pun susah sebenarnya. tapi dengan latihan lama-lama boleh. harap encik bersabar sebab ni untuk kebaikan encik jugak.'

"kan sedap kalo cakap macam tu. bagi patient sinar harapan. lain kali jangan buat lagi" sambil ketawa

Alhamdulillah dia menerima dengan positif insyaAllah

Lesson learnt
tulisan ini bukan bertujuan untuk merungut. maaf seandainya gaya penulisan menampakkan sedemikian. sebaliknya ia sebagai sebuah perkongsian.

seminggu sebelum kemalangan saya sempat mengikuti pengajian di wad pembedahan. dalam masa empat hari saya dapat menyaksikan tiga pembedahan, dua OGDS (oesophagogastroduodenoscpy), satu colonoscopy, satu CT abdomen dan pelbagai jenis penyakit. ketika itu saya merasakan bahawa kesemuanya begitu mudah sekali. ada saja ketumbuhan buat saja pembedahan. potong sana, potong sini.

tetapi, akhir-akhir ini pandangan itu berbeza. dengar cerita 'dia lung lobectomy untuk lung CA','mastectomy for breast cancer', 'high anterior resection and anastomosis of colon' terasa lain. terasa gerun sekali. dan juga lebih empati. bukan senang untuk membuang seketul daging yang telah menjadi sebahagian daripada badan. bagaimanakah perasaannya sewaktu diberitahu diagnosis? bagaimana dengan ketakutan yang dirasai sebelum pembedahan? sakitnya selepas itu? bagaimana pula untuk menyesuaikan dengan keadaan baru selepas rawatan.

Alhamdulillah saya tidak ke tahap memerlukan amputasi anggota badan. malangnya seorang sahabat kemalangan terpaksa melaluinya. takziah saya ucapkan baginya serta diiringi doa agar tetap tabah.

walaupun hanya melalui pembedahan kecil; 'internal fixation - tension band wire' tetapi keperitannya saya rasai setelah tiga minggu post-op. terasa serba kekurangan - disabled. banyak aktiviti harian memerlukan bantuan, tidak mampu berdikari. adakalanya perasaan bercampur -baur. 'easily agitated'. cepat meradang tak tahu kenapa. ini baru sedikit. belum lagi mereka yang terpaksa melalui ujian yang lebih besar.

satu aspek penting kita sebagai muslim adalah kepercayaan kepada Tuhan. oleh itu dalam apa jua masalah, pengharapan adalah kepada Allah s.w.t sepenuhnya. Unsur rohani ini amat signifikan dan perlu disampaikan kepada pesakit agar dia tidak mudah lupa serta putus asa. itu perbezaan utama antara kita dengan 'orang lain'. kita berharap kepada Dia Yang menjadikan kenyataan. mereka pula sujud pada penyampai kenyataan. sebab itu mereka menyedari kepentingan aspek rohani melalui pelbagai pengkajian dalam bidang meditasi, yoga dan lain-lain. hakikatnya mereka tidak akan temui selagi jalan yang dilalui itu salah.

menjadi pesakit telah membuka paradigma baru. kini saya mampu melihat dengan lebih jelas dua perspektif berbeza. antara doktor dan pesakit. bak kata orang tua-tua:

"sebelum jadi bomoh ular, mestila biasa dipatuk ular"

Gambar hiasan

sekadar perkongsian. semoga bermanfaat.

sebenarnya mengharapkan nasihat
disamping memanjatkan hidayat

untuk kehidupan yang lebih berkat

masih basah kenangan indah


Masih basah kenangan indah
Zaman cemerlang era gemilang
Ketika Rasul ada di sisi
Para sahabat mentadbir bumi

Zaman nubuwwah era khulafa'
Islam laksana api yang menyala
Menerangi teman dan juga sahabat
Bahang panasnya membakar lawan

Di celah itulah
Kami mengatur langkah
Membina sebuah thoifah

Di sini bara
Tak pernah padam
Digenggam kukuh
Sebuah azam

Ayuhlah para mujahid
Ayuhlah para mujahidah
Kita tinggalkan zaman fitnah
Agar tertegak kalimatullah
Agar terbangun.....
Dunia Baru Islam
  • lagu: dunia baru Islam
  • munsyid: the zikr
  • kali pertama mendengar lagu ni tahun 2006. sekarang dengar balik masih terasa saat-saat manis ketika itu. tapi yang paling penting, penghayatan terhadap perjuangan.

Sunday, February 28, 2010

genap sebulan

Lebih kurang 930pm malam tadi genap sebulan saya mengalami kemalangan jalanraya. Ramai kawan yang datang melawat, ada juga mencadangkan peristiwa itu dibuat cerita; cerita asal, cerita untuk pengajaran, cerita tokok tambah untuk jadikan lebih menarik. Itu semua bergantung kepada perangai orang dan idea yang bermain di dalam fikiran masing-masing. Apapun, jazakallah khairan kathira kepada semua atas keperihatinan yang diberi; ziarah, sms, telefon dan paling berharga tetap doa.

status sekarang:
  • posting cuti tinggal seminggu saja lagi
  • alhamdulillah jari tangan kanan dah boleh genggam cuma masih tidak kuat
  • siku kanan masih keras, range of movement lebih kurang 110 degree extension
  • sedikit blister (air bisa) di siku. doctor's impression - infected wound, suture tear. nasihatnya jangan flex elbow sangat.
  • masih kena physiotherapy. tambah pula dengan daily dressing untuk siku.
  • plan untuk buat elektif di Hospital Seberang Jaya, cuma tak pasti nak bidang apa.
Harap dapat kembali beraksi

Saturday, February 27, 2010

Assalamualaikum

Rasanya ini adalah blog ketiga yang saya hasilkan. Blog-blog sebelum ini telah lama ditinggalkan dan tiada sebarang update. Alasan tetap alasan; sibuk dan mungkin juga malas. Plan asal ingin mula menulis semula awal tahun ini. Tapi satu demi satu masalah datang menyebabkan saya terus tangguh-menangguh. Akhirnya saya menambil nasihat seorang sahabat' "nak tulis blog ni kene buat je, kalo tidak takkan bergerak." Mengambil iktibar daripada itu saya pun mulakan saja 'coretan', walaupun hanya tangan kiri yang mampu menaip, setelah tangan kanan mengalami kecederaan hasil dari kemalangan jalanraya. Malah, alamat blog ini pun diambil dari peristiwa bersejarah itu.

tujuan utama saya menulis, harapnya blog ini menjadi medan untuk berlatih mengarang. Mana tahu masa depan nanti, harap mampu menulis sebuah buku untuk dikongsikan idea.......InsyaAllah

setiap bangunan yang besar, dimulakan dengan seketul bata yang kecil